Perutusan Ketua Penolong Pengarah KETUA PENOLONG PENGARAH (K & UB) SR.ZAILAN BIN LAGIMAN
Assalamualaikum dan salam sejahtera
Ucapan setinggi tahniah dan syabas kepada pegawai dan kakitangan yang berusaha menyediakan laman web Bahagian Kontrak & Ukur Bahan JKR Negeri Sembilan Darul Khusus. Dengan adanya laman web ini, saya harap ia dapat membantu pelayar laman web mendapatkan gambaran sebenar peranan dan khidmat selia yang ada di Bahagian ini.
Peranan Bahagian Kontrak & Ukur Bahan diujudkan selaras dengan Piagam Pelanggan iaitu untuk memberikan perkhidmatan pentadbiran kontrak yang lebih efektif, efisyen dan adil bagi memastikan bahawa projek-projek Kerajaan yang dikendalikan di Negeri Sembilan Darul Khusus dapat dilaksanakan dengan kos yang ekonomik, relevan dan berpatutan.
Selain daripada memberi perkhidmatan kepakaran Ukur Bahan yang konsisten dan berdaya saing selaras dengan peraturan dan arahan perbendaharaan dan jabatan, kami juga berusaha melaraskan prosedur-prosedur dan garispanduan kontrak selaras dengan kehendak semasa Kerajaan agar ianya menjadi lebih berkualiti dan sempurna dari segi kontraktual dan prosedur. Ini juga merangkumi khidmat nasihat, perjanjian dan bayaran perkhidmatan perunding.
Dalam menetapkan kualiti dan perkhidmatan yang terbaik, Bahagian Kontrak & Ukur Bahan juga menggunapakai dan mengamalkan asas Piagam Pelanggan, Surat-surat Arahan dan Pekeliling KPKR, Garis Panduan dan MS ISO 9001:2008 (Sistem Pengurusan Kualiti JKR- SPK) sebagai satu penjanaan dalam memenuhi kehendak-kehendak pelanggan agar mereka sentiasa berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan.
Oleh itu saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih dan penghargaan kepada semua pegawai dan kakitangan Bahagian Kontrak & Ukur Bahan yang telah berusaha memberi sumbangan dan kerjasama yang gigihnya ke arah mencapai matlamat yang gemilang bahagian ini.
Sekian, terima kasih.
| |